![]() |
Vaksin penting untuk jemaah haji |
Tahun ini seramai 30,200 rakyat Malaysia dijadual menunaikan ibadah haji di Makkah. Kesesakan jutaan jemaah haji dari seluruh dunia boleh meningkatkan risiko jangkitan yang membawa maut seperti wabak meningokokus invasif (IMD).
Walaupun vaksinasi sebahagian daripada syarat untuk menunaikan haji,
ramai masih tidak sedar bahaya mengambil mudah perkara ini. Meningococcal
meningitis ialah satu penyakit berbahaya berpunca daripada jangkitan bakteria
‘neisseria meningitidis’ yang boleh mengancam nyawa serta merebak dengan cepat,
khususnya di tempat sesak seperti Makkah.
Bekas Ketua Pasukan Perubatan Tabung Haji dan Perunding Kanan
Respirotari, Prof Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata kira-kira 135,000
kematian di seluruh dunia ada kaitan dengan penyakit meningokokus invasif
setiap tahun.
“Di negara mempunyai masalah penyakit endemik yang tinggi, ia boleh
menjadi beban yang serius kepada sistem kesihatan awam. Wabak IMD disebabkan
bakteria neisseria meningitidis.
“Ia boleh mengakibatkan meningitis iaitu satu bentuk jangkitan serius ke
atas meninges (membran yang menyeliputi otak dan saraf tunjang). Jika dibiarkan
tanpa rawatan ia akan menyebabkan kerosakan otak yang teruk serta kematian bagi
50 peratus kes.
“Bakteria ini juga mengakibatkan masalah sepsis (jangkitan darah),
pneumonia (radang paru-paru) serta jangkitan lain,” katanya ketika ditemui pada
kempen ‘Bawa Pulang Barakah Elak Mudarat’ di Petaling Jaya baru-baru ini.
Beliau menegaskan vaksinasi adalah cara berkesan mencegah penyakit meningokokus.
Jemaah haji mempunyai dua pilihan vaksin iaitu meningokokus polisakarida dan
vaksin meningokokus konjugat (MCV).
“Vaksin meningokokus polisakarida dihasilkan daripada polisakarida
(molekul-molekul gula) daripada permukaan bakteria meningokokus. Tindak balas
antiobodi ke atas vaksin polisakarida bergantung kepada usia.
“Walaupun vaksin ini dilaporkan sangat berkesan ke atas golongan dewasa,
namun ia memberi perlindungan yang amat sedikit atau jangka pendek untuk bayi
serta kanak-kanak prasekolah.
“Bagi vaksin meningokokus konjugat pula, polisakarida digabungkan secara
kimia (berkonjugat) dengan protein yang mengubah aspek imunologi dan
meningkatkan keupayaan bagi memangkin tindak balas imun dalam badan. Vaksin
konjugat efektif untuk orang dewasa serta berkesan melindungi kanak-kanak
kerana ia menawarkan tindak balas imun yang lebih tinggi dan mapan,” katanya.
Kelebihan unik vaksin konjugat ialah mampu mengurangkan pembawaan
bakteria dalam hidung serta tekak sekali gus melindungi jemaah haji serta
mereka yang tersayang.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life (IFL) Prof Datuk
Dr Zulkifli Ismail berkata IMD boleh berjangkit daripada individu kepada
individu lain menerusi titisan cecair daripada saluran pernafasan yang keluar
ketika batuk, selesema atau bersin terutama ketika berada dalam jarak dekat.
“IMD mengakibatkan kadar kematian sekitar 10 hingga 15 peratus dalam
kalangan mereka yang terkena jangkitan. Dalam kalangan pesakit pula, ramai
mengalami kecacatan kekal seperti hilang anggota badan, pekak, masalah pada
sistem saraf atau kerosakan otak.
“Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua jemaah mendapatkan vaksin untuk
mencegah IMD. Namun, lebih penting untuk kita memahami mengapa langkah ini
diambil,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia Dr Jeffrey
Abu Hassan berkata, kesihatan tubuh badan serta kemampuan fizikal amat penting
bagi menjalankan ibadah haji sebaik mungkin.
“Sakit akibat pelbagai penyakit terutama jangkitan meningokokus boleh
menghalang jemaah menyempurnakan haji. Ia juga meningkatkan kemungkinan
menjangkiti ahli keluarga apabila mereka pulang.
“Jemaah haji seharusnya berazam pulang ke rumah dalam keadaan kuat dari
segi spiritual dan fizikal serta ibadah haji diterima Allah. Mereka perlu
mengelak daripada dijangkiti atau menjadi pembawa bakteria meningokokus dcengan
mendapatkan vaksin meningokokus,” katanya.
INFO
Simptom meningokokus
Penyakit meningokokus boleh membunuh dalam tempoh 24 jam selepas simptom
awal dikesan
Gejala meningitis meningokokus
• Letih lesu
• Demam panas
• Pening kepala dan muntah-muntah
• Mengantuk dan kekeliruan
• Kejang pada leher atau kaki
• Tidak sedarkan diri
• Sensitif pada cahaya
• Meracau
Gejala septisema meningokokus
• Demam
• Sentiasa letih
• Loya atau muntah
• Sakit badan
• Cirit-birit
• Ruam berwarna ungu (tidak hilang jika ditekan)
* • Disebabkan penyebaran
meningokokus pada 1988, 1992 serta 2000, kerajaan Arab Saudi mewajibkan jemaah
mengambil vaksin untuk menentang meningitis meningokokus yang juga endemik di
Tanah Suci.

loading...
0 comments Blogger 0 Facebook
Post a Comment